Huawei Malaysia hari ini telah memperkenalkan satu lagi variasi
pilihan warna untuk Huawei P9 – iaitu dalam warna merah jambu emas.
Selain daripada perbezaan warna, peranti ini juga turut membawakan
sedikit perbezaan dari segi spesifikasi.
Huawei P9 sebelum ini telah mencuri perhatian ramai dengan penggunaan
dwi-kamera belakang yang dikuasakan oleh penjenamaan Leica. Peranti ini
juga turut menawarkan beberapa kelebihan lain, termasuk ketahanan
bateri yang lama dan juga pengimbas cap jari yang pantas.
Model berwarna merah jambu emas ini pula menawarkan ruangan storan
tambahan berbanding model sebelum ini, iaitu 64GB, selain dilengkapi
memori 4GB RAM (berbanding hanya 3GB RAM pada model biasa). Dengan
penambahan ini, Huawei P9 Rose Gold ini dijual pada harga RM2399.
Huawei mengatakan hanya 999 unit sahaja yang ditawarkan di Malaysia,
dan untuk promosi terhad, pengguna turut akan menerima Huawei P9 Gift
Box bernilai RM259 bersama-sama pembeliann peranti ini.